Baucar RM100 penerbangan Malaysia Airlines

Published 2 years ago on 28 September 2021 | Author TIN Media
KUALA LUMPUR:

Malaysia Airlines menawarkan baucar penerbangan RM100 kepada 6,500 pelanggan di bawah kempen Stimulus Cuti Malaysia.

Kempen syarikat penerbangan nasional dalam menyokong pembukaan semula lebih banyak destinasi domestik itu membabitkan tempahan dan perjalanan segera sehingga 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan dan Pengalaman Pelanggan Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines), Lau Yin May, berkata syarikat penerbangan itu berbangga dapat menyokong inisiatif kerajaan untuk memulihkan semula industri pelancongan sebagai peralihan daripada fasa pandemik kepada endemik.

"Dengan kembalinya kempen Stimulus Cuti Malaysia menerusi kerjasama Tourism Malaysia dan dilengkapi protokol keselamatan ketat serta perjalanan tanpa sentuh, pelanggan kami akan terbang dengan penuh keyakinan dan menikmati percutian mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Yin May berkata, Malaysia Airlines menjangkakan trend positif tempahan pada masa akan datang yang mencerminkan keyakinan pelanggan, selain pembukaan semula lebih banyak destinasi pelancongan domestik bakal mempercepatkan pemulihan industri dan ekonomi negara.

"Bersempena dengan kempen ini, pelanggan juga dapat memanfaatkan banyak tawaran menarik yang lain menerusi MHholidays, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines melalui www.holidays.malaysiaairlines.com," katanya.

Pemohon yang berjaya akan mendapat baucar perjalanan RM100 yang ditebus untuk tempahan dan perjalanan segera bagi kelas penerbangan Ekonomi dan Perniagaan Malaysia Airlines ke mana-mana destinasi domestik.

Untuk layak, pelanggan mesti menjadi ahli Enrich dan diminta untuk mendaftar dalam talian di www.malaysiaairlines.com/cuticutimalaysia.