Pelancong dinasihat peka keadaan cuaca di pantai

Published 2 years ago on 9 October 2021 | Author TIN Media
LANGKAWI:

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menasihatkan pelancong yang mengunjungi Pantai Chenang dan Tengah di pulau peranginan ini dinasihatkan peka kepada cuaca buruk susulan peralihan angin monsun pada masa ini.

Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, pelancong perlu mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan kawasan pantai tersebut membahayakan pengunjung memandangkan cuaca tidak menentu ketika ini dengan kerap menerima hujan lebat, angin kencang dan ombak besar.

Ini kerana, menurutnya, kes-kes kehilangan nyawa menerusi aktiviti air di kawasan pantai tersebut dilaporkan kerap berlaku ketika musim peralihan monsun seperti sekarang.

“Sikap memandang remeh terhadap perubahan cuaca buruk boleh mengundang tragedi buruk kepada pelancong yang bercuti sempena projek rintis gelembung pelancongan yang bermula 16 September lalu.

 “Saya minta pengunjung-pengunjung untuk memberi kerjasama sepenuhnya jika diarahkan untuk meninggalkan kawasan tersebut untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku,” katanya.