Capital A semakin pulih ke tahap sebelum pandemik

Published 4 months ago on 27 July 2022 | Author TIN Media
KUALA LUMPUR:

Syarikat penerbangan yang disatukan, Capital A Bhd mencatatkan faktor muatan sebanyak 84 peratus menjelang suku kedua 2022, menyamai tahap sebelum pandemik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Capital A, yang dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Bhd berkata syarikat penerbangan gabungannya membawa lebih 5.6 juta penumpang pada suku itu, naik 633 peratus dari tahun ke tahun dan peningkatan suku ke suku berjumlah 48 peratus.

"Syarikat penerbangan yang disatukan itu membuat lebih daripada 35,000 penerbangan pada suku berkenaan, lonjakan 483 peratus dari tahun ke tahun berbanding tempoh yang sama tahun lalu disebabkan dorongan daripada permintaan domestik yang semakin mengukuh selain penyambungan semula perjalanan antarabangsa di negara-negara ASEAN," kata syarikat itu ketika melaporkan perangkaan operasi pada suku kedua membabitkan penerbangan perniagaan, digital dan logistiknya.

Sejajar dengan itu, kilometer tempat duduk tersedia (ASK) berkembang sebanyak 456 peratus dari tahun ke tahun dan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) bertambah 582 peratus dari tahun ke tahun.

Pada suku kedua, jumlah pesawat yang beroperasi untuk AirAsia Malaysia, AirAsia Indonesia dan AirAsia Filipina masing-masing adalah 45, 12 dan lapan buah.

AirAsia Malaysia mencatatkan faktor muatan 84 peratus yang lebih kukuh pada suku kedua, menokok 20 mata peratusan dari tahun ke tahun serta 10 mata peratusan dari suku ke suku, kata kenyataan itu.

Penumpang yang dibawa dan kapasiti meningkat dengan ketara sebanyak 1,276 peratus dari tahun ke tahun dan 955 peratus dari tahun ke tahun, masing-masing kepada 3.8 juta dan 4.6 juta, dengan lebih banyak pesawat beroperasi ditambah bagi menyokong lonjakan permintaan untuk penerbangan domestik dan antarabangsa.

Faktor muatan bagi penerbangan antarabangsa mencapai 81 peratus dengan 31 destinasi tambahan dimulakan kembali dan jumlah penumpang antarabangsa mula mencapai paras tertinggi selepas pandemik, disebabkan pembukaan laluan Malaysia-Singapura, diikuti oleh laluan Malaysia-Indonesia dan Malaysia-India.

AirAsia Indonesia mencatatkan faktor muatan sebanyak 77 peratus pada suku kedua, tambahan 10 mata peratusan dari tahun ke tahun, manakala penerbangan domestik meraih faktor beban positif sebanyak 73 peratus.

Di samping itu, faktor muatan untuk penerbangan antarabangsa adalah lebih kukuh pada 86 peratus.

"AirAsia Filipina merekodkan faktor muatan tertinggi di kalangan syarikat penerbangan kumpulan pada 93 peratus, lonjakan 15 mata peratusan dari tahun ke tahun.

"Pada suku kedua, bilangan penumpang yang dibawa naik 480 peratus dari tahun ke tahun serta kapasiti berkembang 388 peratus dari tahun ke tahun," tambahnya.

Manakala, AirAsia Thailand membawa lebih 1.7 juta penumpang, meningkat 133 peratus dari tahun ke tahun dengan faktor muatan 75 peratus dari tahun ke tahun bagi tempoh yang ditinjau, bertambah sebanyak 14 mata peratusan berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

"Syarikat penerbangan itu menambah kekerapan penerbangan dan laluan untuk memenuhi permintaan yang meningkat, menyebabkan pertambahan 87 peratus penerbangan kepada 12,326 penerbangan, dengan 25 pesawat beroperasi pada suku berkenaan.

"Lebih banyak penerbangan antarabangsa telah beroperasi semula pada suku berkenaan iaitu 19 laluan ke lapan negara menjelang akhir suku kedua," katanya.

Bagi perniagaan digital Capital A, airasia Super App mencapai pertumbuhan purata pengguna aktif bulanan yang mencecah 10.6 juta pada suku kedua, naik 236 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Pertumbuhan kepada pulangan perjalanan yang mantap serta kenaikan pemerolehan pengguna pada aplikasi mudah alih telah didorong oleh peningkatan transaksi daripada penerbangan, perjalanan airasia, FlyBeyond dan SUPER+.

BigPay mencapai 1.2 juta pengguna kad pada suku kedua, tambahan 62 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu.

Ini didorong oleh penggunaan pasaran yang kukuh sepanjang tahun lalu dan tahun ini, sejajar dengan pemulihan perjalanan dan lebih opsyen dalam penawaran produk seperti pembayaran serta pemindahan DuitNow, pengembangan koridor pengiriman wang dan menjadi salah satu produk pinjaman digital yang pertama di Malaysia.

Untuk perniagaan logistik Capital A, Teleport mengangkut tan kargo yang sedikit lebih rendah pada 27 peratus dari tahun ke tahun disebabkan China melanjutkan sekatan laluan yang bermula pada Mac 2022.

Penghantaran, sebaliknya, meningkat dengan ketara, menokok 630 peratus dari tahun ke tahun sehingga Teleport mampu meraih jumlah yang memecahkan rekod sebanyak 1.15 juta penghantaran pada suku kedua.

Ini sebahagiannya disebabkan oleh penggunaan platform e-dagang baharu yang lebih besar oleh Teleport pada suku kedua yang menyumbang 10 peratus daripada jumlah penghantaran.

Platform baharu ini dijangka meningkatkan pertumbuhan ketara dalam industri itu dengan pelan pengembangan Teleport yang mantap di seluruh rantau ini pada tahun semasa.