Hotel di Pulau Pinang hampir penuh

Published 2 years ago on 15 October 2021 | Author TIN Media
PULAU PINANG:

Tempahan hotel di Pulau Pinang pada cuti hujung minggu ini meningkat sehingga 80 peratus.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, K Raj Kumar berkata, peningkatan itu berlaku selepas pengumuman kerajaan berhubung kebenaran merentas negeri bermula Isnin lalu.

"Pada hari biasa, tempahan bilik di kebanyakan hotel di negeri ini mencapai 50 peratus dan meningkat ke 80 peratus pada hujung minggu ini.

"Kita berharap agar orang ramai terus berminat untuk melancong untuk membantu industri perhotelan bangkit semula," katanya.

Beliau berkata, hotel di pulau ini terutama yang terletak di pantai mula sibuk membuat persiapan menerima pelancong sejak kebenaran rentas negeri diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lalu.

Sementara itu, Raj Kumar berkata, pihaknya memohon kerajaan pusat supaya segera mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi operasi perhotelan ketika negara berada dalam fasa endemik nanti.
Beliau berkata, SOP itu perlu bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Kita berharap SOP bagi fasa endemik ini lebih mudah difahami dan dikeluarkan oleh satu pihak sahaja agar tidak berlaku pertindihan arahan.

"Contoh, ketika fasa pandemik, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan SOP dan selepas itu ada agensi lain seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang mengeluarkan SOP lain kepada penggiat industri perhotelan.

"SOP daripada pelbagai agensi menyebabkan kami keliru. Jadi kami memohon agar SOP fasa endemik ini segera diumumkan supaya kami boleh bersedia dan dikeluarkan oleh satu agensi sahaja seperti MKN," ujarnya.

Pulau Pinang menjangkakan sekitar 50,000 pelancong akan mengunjungi negeri itu hujung minggu ini susulan kebenaran rentas negeri di seluruh negara bermula 11 Oktober lalu.