Industri pelancongan Sarawak catat peningkatan lebih 800 peratus

Published 3 months ago on 9 August 2022 | Author TIN Media
KUCHING:

Industri pelancongan di Sarawak kembali mempamerkan prestasi yang luar biasa sepanjang tujuh bulan pertama tahun 2022 dengan mencatatkan peningkatan lebih 800 peratus merangkumi data ketibaan pelancong asing dan nilai resit pelancongan di negeri itu.

Berbanding tempoh yang sama untuk tahun 2021, nilai keseluruhan resit pelancongan di negeri itu mencatatkan peningkatan sebanyak 856.95 peratus iaitu daripada RM171.29 juta (Januari-Julai 2021) kepada RM1.64 bilion (Januari-Julai 2022) sementara RM316.08 juta terkumpul untuk bulan Julai sahaja.

Menteri Pelancongan, Seni Kreatif, dan Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perkembangan yang positif ini adalah kesan daripada penganjuran berterusan acara antarabangsa yang diadakan di beberapa bahagian negeri itu khasnya di Kuching, Sibu dan Miri.

Jelasnya acara pelancongan seperti festival muzik, kebudayaan dan makanan yang dianjurkan di Sarawak telah menyumbang kepada ketibaan seramai 703,891 pengunjung domestik dan antarabangsa ke negeri itu sepanjang tempoh yang sama tahun ini.

“Daripada jumlah tersebut, pelancong asing yang tiba ke Sarawak sepanjang bulan Januari sehingga penghujung Julai tahun ini ialah 576,443 orang meningkat sebanyak 981.44 peratus daripada 11,785 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu. Melihat kepada jumlah ini kementerian yakin Sarawak akan mampu mencapai sasaran 1.2 juta pengunjung tiba di negeri ini menjelang penghujung tahun 2022.

“Dengan kekerapan penerbangan yang kembali normal dan penganjuran acara hampir setiap minggu, pihak perhotelan juga merasai impak positif dan rata-rata pengurusan hotel yang saya temui berkata kapasiti tempahan bilik mereka kini melebihi 90 peratus yang juga dirasai oleh penggiat industri yang lain,” katanya pada sidang media.

Restoran yang yang berkonsepkan gabungan makanan tradisional Sarawak dan barat itu akan menjadi salah satu daya penarik baharu kepada muzium kedua terbesar di Asia Tenggara itu dengan pelbagai hidangan yang unik serta menggambarkan selera etnik tertentu di Sarawak antarnya ‘Piza Ulat Sagu” dan ‘Umai Ikan Tenggiri’.

Mengulas lanjut mengenai prestasi Muzium Budaya Borneo, Abdul Karim berkata walaupaun pihak pengurusan telah mengenakan pembayaran kepada pengunjung sejak 1 Ogos yang lalu, ia tidak menjejaskan kunjungan orang ramai ke muzium tersebut.

“Walaupun berbayar, muzium ini masih menerima pendaftaran pengunjung yang cukup memberangsangkan iaitu sekitar 700 orang pada 1 Ogos lalu dan sehingga 1,500 orang sehari pada hujung minggu, bahkan secara purata nilai kutipan tiket yang terkumpul untuk sehari boleh mencecah sehingga RM10,000.

“Jumlah pengunjung yang telah hadir ke muzium daripada hari pembukaannya pada 9 Mac lalu sehingga ke hari ini (8 Julai) ialah seramai 386,753 orang, ini adalah jumlah yang cukup besar,” ujarnya lanjut.