Jepun laksana ujian pelancongan sebelum pembukaan penuh sempadan

Published 1 year ago on 19 May 2022 | Author TIN Media
JEPUN:

Jepun akan mula melaksanakan 'ujian pelancongan' dalam bentuk pakej lawatan terhad bulan ini, untuk mendapatkan maklumat menjelang pembukaan sepenuhnya negara itu kepada pelancongan.

Pelancongan adalah antara aspek utama dalam ekonomi Jepun, namun pelancong masih belum dibenarkan masuk sejak negara itu melaksanakan kawalan sempadan ketat pada 2020, ketika permulaan pandemik COVID-19.

Beberapa peraturan dilonggarkan bagi membenarkan pelajar dan ahli perniagaan masuk ke Jepun, namun pelancong individu masih tidak dibenarkan walaupun pemain industri menggesa sektor itu dibuka semula dan mengambil kesempatan terhadap nilai yen yang jatuh ke paras terendah dalam tempoh 20 tahun.

Agensi Pelancongan Jepun berkata, kerajaan akan mula membenarkan kumpulan kecil pelancong untuk masuk ke negara itu bermula hujung bulan ini sebagai 'kajian kes' untuk mendapat maklumat sebagai persediaan sebelum sektor itu dibuka sepenuhnya nanti.

Katanya, pelancong yang sudah menerima tiga dos vaksin dan tiba dari Amerika Syarikat (AS), Australia, Thailand dan Singapura akan dibenarkan masuk, namun perjalanan mereka perlu dirancang sepenuhnya bersama agensi pelancongan, selain ditemani pemandu pelancong pada setiap masa.

"Langkah ini akan membolehkan kita mengenal pasti pematuhan dan tindak balas kecemasan untuk kawalan jangkitan, serta menggubal peraturan untuk agensi pelancongan dan pengendali kemudahan," katanya dalam satu kenyataan.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dalam satu ucapan di London memaklumkan akan menyelaras kawalan sempadan Jepun dengan negara demokrasi kaya yang lain bermula Jun.

Bagaimanapun, Kishida tidak memberikan perincian lanjut, khususnya berhubung tarikh Jepun itu akan membuka sepenuhnya sempadan negara kepada pelancong.

Pada 2019, Jepun menerima kemasukan 31.9 juta pelancong asing, yang membelanjakan sejumlah 4.81 trilion yen (RM163 bilion).