MATA gesa kerajaan mansuh skim My Travel Pass

Published 2 years ago on 23 September 2021 | Author TIN Media
KUALA LUMPUR :

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan memansuhkan skim My Travel Pass bagi warganegara Malaysia yang ingin ke luar negara memandangkan negara kini sudah mencapai 80 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun, berkata skim My Travel Pass adalah suatu perkara amat merumitkan dengan proses permohonan mengambil masa sehingga 14 hari sebelum tiba waktu berlepas.

"Skim ini diperkenalkan ketika negara dilanda pandemik COVID-19 yang agak tinggi dan sehingga kini ia tidak pernah dikaji untuk dimansuhkan memandangkan kes import amat rendah berbanding kes tempatan.

"Malaysia kini juga sudah mencapai 80 peratus imuniti kelompok rakyat yang sudah lengkap dua dos vaksin, maka sudah tiba masanya skim itu dimansuhkan kerana kebanyakan warganegara Malaysia dilindungi vaksin," katanya dalam kenyataan.

Mohd Khalid berkata, ramai rakyat negara ini ingin keluar negara bagi tujuan bekerja, menjalankan perniagaan, menunaikan umrah dan melancong ke negara berstatus hijau.

"Kita juga perlu memikirkan untuk membuka semula pintu sempadan negara bagi membolehkan pelancong dari negara hijau berkunjung ke Malaysia.

"Jika ia dibolehkan, dengan sendiri pengaliran mata wang asing akan masuk ke negara melalui pelancong dari negara hijau yang dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, perkara itu juga akan dapat menghidupkan kembali sektor pelancongan negara yang sudah lama terkesan akibat penutupan pintu sempadan.

"Banyak negara Barat sudah mula membuka pintu sempadan masing-masing kepada pelancong dari negara hijau.

"Kita yakin pelancong yang akan keluar dan masuk ke negara ini nanti akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan ia sudah menjadi satu norma baharu dalam kehidupan seharian," katanya.