MATTA sasar kedatangan lima juta pelancong asing

Published 1 year ago on 27 April 2022 | Author TIN Media
KUALA LUMPUR:

 Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjangkakan kemasukan lima juta pelancong luar negara bermula bulan ini sehingga hujung tahun.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata tempahan pelancong luar negara belum begitu tinggi, namun pihaknya menjangkakan peningkatan mulai Mei ini.

"Kita akan dapat melihat perkembangan yang baik dalam sektor pelancongan pada pertengahan tahun ini.

"Pelancong asing yang ingin melancong ke Malaysia perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Pematuhan SOP ini bukan hanya dilaksanakan di negara ini tetapi hampir semua negara di dunia bagi mengekang penularan COVID-19," ," katanya pada majlis penyampaian hadiah Peraduan Pembeli Pameran MATTA.

Kok Liang berkata, pekerja yang terkesan dan diberhentikan pekerjaan akibat pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akan dipanggil semula secara berperingkat untuk kembali bekerja.

"Tenaga kerja setakat ini mencukupi untuk menampung kehadiran lima juta pelancong dari luar negara kelak.

"Saya harap pekerja yang terkesan akan kembali bekerja kerana mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran tertentu dalam sektor ini yang mampu membawa sektor pelancongan Malaysia berkembang maju pada masa hadapan," katanya.