Melaka anjur sambutan besar-besaran rai ketibaan pelancong domestik

Published 2 years ago on 14 October 2021 | Author TIN Media
MELAKA :

Melaka akan menganjurkan majlis sambutan secara besar-besaran sebagai simbolik pembukaan semula sektor pelancongan di negeri itu kepada pelancong domestik, pada 15 Oktober ini.

Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis, majlis berkenaan akan diadakan di beberapa lokasi untuk meraikan pengunjung yang datang.

"Pada 15 Oktober 2021, kita akan buat sambutan pelancong domestik bermula di pintu masuk utama di Plaza Tol Ayer Keroh.

"Selain itu, majlis sambutan juga diadakan di Plaza Tol Simpang Ampat dan Perhentian Bas Melaka Sentral," katanya pada sidang media.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran lebih sejuta pelancong tahun ini dan 5.6 juta pada tahun hadapan.

Jelasnya, pelbagai promosi pelancongan diadakan bagi menarik lebih ramai pelancong domestik memilih negeri itu sebagai destinasi percutian.

Antaranya Kempen Promosi Melakan Visit Melaka 3.0, Pocket Show, Menara Taming Sari X Tourism, Melaka Fun Ride 2021 dan Bas Pelancongan Elektrik 'Singgah-Singgah'.

Tambah Jailani, pihaknya turut menyasarkan pemulihan sehingga 75 peratus bagi sektor pelancongan di negeri itu dalam masa terdekat.

"Jika beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pemulihan pelancongan dijangka meningkat sehingga 80 peratus," katanya.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP), ujarnya beberapa pendekatan diambil kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pelancong terjamin.

Katanya, ia termasuk program Pensijilan Patuhi dan Amal SOP COVID-19 Negeri Melaka bagi sektor pelancongan di negeri itu.