Pemain industri agro pelancongan negeri-negeri utara kukuhkan kerjasama

Published 1 year ago on 25 April 2022 | Author TIN Media
PERLIS:

Lawatan pemain-pemain industri swasta dan persendirian dari Pulau Pinang dan Kedah ke negeri ini bakal mengukuhkan lagi kerjasama sektor pelancongan negeri ini khususnya dalam subsektor agro pelancongan.

Seramai 25 peserta rombongan terdiri daripada pemilik inap desa, agensi pelancongan serta penyedia perkhidmatan dan hospitaliti melawat tiga lokasi agro pelancongan terkenal di Perlis iaitu Superfruits Valley, Pusat Kecemerlangan Harumanis Bukit Bintang dan Taman Buah-buahan Eksotik Perlis.

Ketua delegasi tersebut, Gwee Han Yang berkata, objektif utama lawatan adalah bagi menyatukan pemain industri pelancongan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

“Buat pertama kali dalam sejarah, kita telah melakukan satu jalinan jaringan industri dengan pengusaha agro pelancongan dan ini adalah permulaan yang baik untuk memantapkan lagi sektor pelancongan khususnya berasaskan pertanian.

“Pada masa akan datang, kita berharap lebih banyak kerjasama dapat dilaksanakan dan beberapa lagi program akan dilakukan ke arah memperhebatkan sektor ini dalam kalangan pemain industri agro pelancongan di utara tanah air,” katanya ketika ditemui di Pusat Kecemerlangan Harumanis Bukit Bintang.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling dan wakil Tourism Malaysia Wilayah Utara serta badan profesional.

Sementara itu, pengasas Entopia dan Taman Rama-rama Pulau Pinang, David Goh berkata, beliau melihat lawatan tersebut memberikan sesuatu pengalaman baharu mengenai agro pelancongan di Perlis selain mendapat kenalan baharu dalam industri.

“Jaringan yang terbina melalui lawatan sebegini boleh digunakan untuk melihat prospek baharu pelancongan selain dapat mengintai peluang-peluang dan kerjasama perniagaan.

“Saya juga kagum melihat penanaman, penjenamaan dan penjagaan kualiti mangga harumanis yang merupakan ikon agro pelancongan Perlis yang dilakukan dengan begitu serius sehingga perkara-perkara teknikal seperti sukatan buah dalam unit sentimeter sebelum dibalut turut diambil kira,” jelasnya.

Dalam pada itu Ay Ling memaklumkan, kebanyakan peserta delegasi tersebut mempunyai latar belakang pertanian serta pelancongan sekali gus membantu dalam soal kerjasama dalam teknikal, pemasaran dan sebagainya.

“Diharapkan kolaborasi ini dapat memperluaskan bidang pelancongan di negeri Perlis dan membawa sendiri peserta melihat keunikan agro pelancongan yang berbeza dengan Pulau Pinang khususnya.

“Ini adalah satu permulaan dan kita harap pemain industri agro pelancongan di negeri ini dapat mengambil peluang menerusi lawatan ini dan saya turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian yang menyambut delegasi ini,” ujarnya.