Sesi Webinar dengan Pihak Tourism Malaysia Wilayah Timur, Akhiri Sesi Jelajah Alam Maya ke Semenanjung Malaysia

Published 2 years ago on 29 September 2021 | Author TIN Media
SELANGOR:

Kolaborasi julung-kali pihak Tourism Selangor dengan pihak Pejabat Tourism Malaysia Bahagian Domestik untuk beberapa siri Webinar “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” secara atas talian bagi mempromosikan produk
pelancongan Negeri Selangor kepada wakil penggiat industri setempat, semakin hampir ke penghujung.

Bermula bulan Jun lalu, sesi Webinar tersebut telah diadakan bersama Pejabat Tourism Malaysia Bahagian Domestik, serta Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Selatan, WilayahTengah dan Wilayah Utara, sebelum ianya melabuhkan tirai “pusing” Semenanjung Malaysia, dengan sesi Webinar sama diadakan dengan Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Timur, pada 28 September.

Sesi Webinar yang merupakan salah sebuah usaha promosi pelancongan domestik Negeri Selangor seiring dengan pembudayaan norma baharu, akan menjelajah secara maya ke Malaysia Timur pula dalam masa terdekat ini. 

Aplikasi ‘Zoom’ untuk sesi tersebut dilihat meriah dengan penglibatan seramai hampir 50 orang peserta yang terdiri dari penggiat industri pelancongan bertempat di Negeri Pahang,Kelantan dan Terengganu, serta wakil dari Majlis Perbandaran Bentong, Pahang.

Penganjuran sesi Webinar bersiri ini adalah bagi menggantikan program dan aktiviti promosi pelancongan Negeri Selangor yang lazimnya diadakan secara fizikal seperti Pameran Pelancongan, Program Jelajah dan lawatan produk pelancongan, ekoran dari penularan
wabak Covid-19 di Negara ini.

 “Sesi Webinar bersama Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Timur pada hari ini dilihat bertepatan dengan sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021; di mana pihak Tourism Selangor turut melancarkan Kempen bersempena sambutan ini di landasan digital dan media sosial rasmi Tourism Selangor dalam usaha menampilkan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia”, kata 
Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif, Tourism Selangor dalam satu kenyataan.

“Dalam masa sama, saya turut melihat kepentingan bagi mengekalkan hubungan baik serta sinergi antara pihak Tourism Selangor dan pihak Tourism Malaysia Domestik, termasuk Pejabat-pejabat di peringkat Wilayah bertumpu dalam berganding bahu bagi membangunkan semula industri yang sangat terkesan dengan pandemik global yang makin hampir ke fasa endemik ini”, tambah Azrul Shah.

Sesi webinar “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” telah dijalankan dalam format pembentangan dan taklimat produk pelancongan oleh wakil dari 13 operator produk pelancongan Negeri Selangor, serta Pegawai dari Majlis Perbandaran Sepang. Sesi Webinar tersebut dimeriahkan dengan slot tayangan video promosi pelancongan, serta diakhiri dengan sesi cabutan bertuah untuk para peserta.