Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri telah menyampaikan sijil penghargaan kepada pempengaruh media sosial antarabangsa, Trevor James, yang juga dikenali sebagai The Food Ranger.
Sejajar dengan usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam menyemarakkan pelancongan domestik negara, MOTAC menerusi Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan vlogger makanan kelahiran Kanada Trevor James atau The Food Ranger, melalui platform media sosialnya.
James dan isterinya Xie Chuiting telah menetap di Malaysia melalui program Malaysia My Second Home (MM2H) pada 2019. James telah mula berkecimpung dalam rakaman vlog makanan dan percutian sejak Mac 2013 dan kini saluran YouTube beliau telah mencecah lebih 4 juta pelanggan dari seluruh dunia.
James dan Xie Chuiting telah mula jatuh cinta akan keindahan Malaysia selepas beberapa kunjungan sebelum mereka mengambil keputusan untuk menetap di Kuala Lumpur.
Susulan itu, James telah mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terbaik di Asia di kedua-dua akaun Facebook dan YouTube beliau yang mencapai 13 juta pengikut, termasuklah mempamerkan tarikan-tarikan di Malaysia dari segi budaya, gastronomi dan destinasi-destinasi pelancongan.
Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan Trevor James dalam menghasilkan The Ultimate Malaysian Road Trip, sebuah siri eksplorasi gastronomi di Pantai Timur yang telah dimuat naik di platform media sosial The Food Ranger pada September dan Oktober yang lalu. Program ini membawa penonton untuk turut serta menjelajah keunikan dan keenakan sajian tempatan di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berharap agar kerjasama seperti ini dapat dijalinkan dengan lebih banyak pempengaruh antarabangsa di Malaysia.
“Dalam era digitalisasi dan media sosial kini, kita berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak pempengaruh antarabangsa dalam
mempromosikan industri pelancongan negara dengan menampilkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih kepada para peminat dan pengikut mereka," katanya.
James juga telah menyertakan logo Malaysia Truly Asia dalam siri ini, iaitu kempen antarabangsa Tourism Malaysia dalam mempromosikan negara sebagai tarikan pelancongan.
Antara aneka makanan tempatan yang diketengahkan termasuklah Ikan Patin Tempoyak di Temerloh, Ikan Bakar Petai di Kuantan, Laksam Putih di Kampung Jambu Bongkok, Terengganu, Ikan Celup Tepung, Ketupat Sotong, Satar, Nasi Kerabu, Nasi Dagang, Akok, dan lain-lain.
Menerusi kolaborasi ini, nilai publisiti keseluruhan yang diterima oleh Tourism Malaysia melalui laman Facebook The Food Ranger menjangkau 128 juta tontonan dan 262 juta paparan, manakala tujuh video di saluran YouTube The Food Ranger telah memperoleh 5 juta tontonan.